Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5

Kurang Menonjol, Punca Najib Lantik Adenan Sebagai Ketua Menteri


Kini barulah rakyat tahu mengapa Datuk Seri Najib Razak melantik Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri Sarawak, kata menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Sebelum ini, kata menteri komunikasi dan multimedia itu kebanyakan rakyat negara ini tertanya-tanya mengapa perdana menteri memilih Adenan kerana tokoh berkenaan hidup secara sederhana dan kurang menonjol.

Memetik pelbagai kejayaan dicapai Adenan Salleh berkata ramai menganggap Najib tersilap dalam pilihannya.

"Memang jelas Najib memberi sokongan penuh kepada Adenan dalam segala usahanya.

"Adenan adalah tokoh yang bersuara demi kepentingan rakyat Sarawak dan apa yang terpenting ialah perdana menteri mendengar (suara berkenaan)," katanya dalam pos di blog beliau.

Keadaan itu kata Salleh memberikan keyakinan kepada pengundi Sarawak bahawa Najib dan Adenan adalah regu yang baik.

"Seorang di peringkat pusat dan seorang lagi di negeri, dan BN mampu memberikan khidmat yang diperlukan rakyat Sarawak," katanya.

Selepas berkhidmat sebagai ketua menteri hampir 800 hari, kata Salleh, pembangkang sendiri terpaksa mengakui Adenan melakukan tugasnya dengan baik.

"Anda boleh lihat daripada kempen pilihan raya Sarawak, tidak banyak kritikan dibangkitkan pembangkang mengenai Adenan," katanya.
Sejak mengambil alih jawatan ketua menteri pada Februari 2014 Adenan memperkenalkan pelbagai dasar yang dianggap penting kepada penduduk Sarawak.

Antara yang penting ialah dasar Anak Sarawak berhubung kesaksamaan untuk semua penduduk negeri serta pengiktirafan kepada sekolah-sekolah Cina, serta pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Pengundi Cina Sarawak Akan Kembali Sokong BN - Zahid


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin masyarakat Cina di bandar akan kembali menyokong BN pada pilihan raya negeri Sarawak 7 Mei ini.

Menurut Zahid, masyarakat Cina bandar telah berubah sikap dengan menuruti kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

"Saya tersentuh dengan pengundi Cina di kawasan bandar. Ia sangat berbeza berbanding pilihan raya negeri yang lalu," jelas beliau.

"Kami perlukan wakil bagi masyarakat Cina dan saya mahukan ahli dewan undangan negeri (DUN) Cina yang boleh diangkat menjadi timbalan menteri dan menteri," Zahid memberitahu kumpulan media KTS dalam wawancara.

Naib Presiden Umno itu menambah, beliau juga tidak akan teragak-agak untuk berbisik kepada Adenan untuk melantik wakil Cina sebagai timbalan ketua menteri.

Kumpulan media KTS memiliki beberapa penerbitan akhbar di Sarawak antaranya Borneo Post, Utusan Borneo dan dua akhbar berbahasa Cina, See Hua Daily dan The Oriental Daily.

Semasa kunjungan beliau ke kumpulan media Sin Chew, yang memiliki Sin Chew Daily dan Guang Ming Daily, Zahid terus menyentuh mengenai sokongan masyarakat Cina.

"Mereka mahu lihat bukan sahaja pembangkang boleh membangkitkan isu, malah calon BN juga akan melakukan perkara yang sama.

"Jangan salahkan Adenan jika keadaan berlaku sebaliknya kerana beliau telah memberi peluang kepada semua etnik kaum di Sarawak.

"Rebutlah peluang ini. Saya berharap masyarakat Cina akan beri Adenan lima tahun. Berilah dia peluang untuk berjuang bagi masyarakat Cina," tambahnya.

Dalam wawancara dengan kumpulan media Star pula, gelombang sudah mula bergerak ke sebelah kerajaan kerana pengundi Cina telah mula melihat BN secara positif.
Adenan memberitahu pengundi Cina di Kuching untuk menyokong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) jika mereka mahukan timbalan ketua menteri dari kaum itu.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak harus menerima cabaran debat oleh pembangkang.

"Tidak, jadual beliau sangat padat. Tidak adil untuk perdana menteri menari mengikut rentak mereka. Lebih adil jika buat selepas 7 Mei," ujarnya.

Kalau Sayangkan Sarawak, Undilah BN - Hishammuddin


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menyeru warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching mengundi BN dalam pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini.

Kata Hishamuddin, hanya BN mampu membawa keharmonian di negara ini dan hanya parti itu juga yang akan mempertahankan kedudukan serta keamanan dinikmati sekarang.

Sebelum itu, beliau yang juga menteri pertahanan berkata kerajaan mempunyai perancangan mengawal pintu sempadan negara dari sebarang ancaman luar.

Katanya, kerajaan tidak mahu konflik seperti berlaku di Mesir, Syria dan Iraq menimpa Malaysia.

“Ini yang kita nak pertahankan pada 7 Mei ini. (Sebab) ini saya hadir di SMK Petrajaya (dan) saya nak nyatakan bahawa, kalau tuan-tuan sayang pada keharmonian dan apa kita ada sekarang ini, tidak ada apa melainkan Barisan Nasionallah yang mampu mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kedudukan kita di sini,” katanya.

Kira-kira 300 guru dan pelajar mendengar ucapan diberikan anak bekas perdana menteri ketiga Malaysia itu.

Hishamuddin kemudian merasmikan gelanggang terbuka SMK Petra Jaya, Kuching.
Hadir di majlis itu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf dan calon BN untuk kerusi Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Mengenai pilihan raya negeri, Hishamuddin berkata, BN mengetengahkan calon muda seperti Fazzrudin untuk memastikan "kelebihan" yang ada di Sarawak dapat dipertahankan dan terjamin.

“Nak mempertahankan keharmonian di negeri Sarawak, nak mengetengahkan calon-calon muda, bawa visi kita membangunkan negeri Sarawak, itu visi kita," katanya.

Undi Pasukan Adenan Untuk Nikmati Lebih Pembangunan - Najib


SRI AMAN - Rakyat Sarawak digesa memberikan sokongan pada kepimpinan Tan Sri Adenan Satem untuk menikmati lebih pembangunan di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, dalam tempoh dua tahun sahaja Adenan menjadi Ketua Menteri, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk rakyat Sarawak.

"Kita mahukan Adenan sebab dalam masa dua tahun, 53 perkara dia dah buat. Hapuskan tol, cukai pintu dikurangkan, jalan dibuat dengan bantuan Kerajaan Pusat, terlalu banyak dibuat. Baru dua tahu. 

"Kalau dalam masa lima tahun, tentu lebih banyak lagi yang boleh dibuat. Jadi kita tak perlu panjangkan cerita, calon pembangkang di sini pun nak tarik diri. Jadi kita tidak boleh letak harapan pada calon yang mahu tarik diri," katanya berucap di Rumah Panjang Faizal Edmund Minit di Kampung Engkrimut, semalam. 

Najib berkata, BN serius memberikan khidmat terbaik kepada rakyat kerana banyak masalah yang perlu diselesaikan. - THEHYPEMEDIA

Tak Sesuai Naikkan Kadar Royalti Minyak Sarawak Pada Masa Ini - Najib


KUCHING - Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, kenaikan kadar royalti minyak kepada Sarawak tidak sesuai dibuat pada masa ini berikutan kejatuhan harga minyak dunia. 

Sebaliknya, kerajaan pusat telah membuktikan komitmennya membantu Sarawak dengan memberikan Lebuh Raya Pan Borneo serta melulusankan RM3.5 bilion bagi pembangunan negeri itu.

"Royalti tidak sesuai untuk diberikan pertimbangan sebab keadaan hasil minyak negara agak kritikal dan kehilangan RM40 bilion disebabkan kejatuhan minyak," katanya. 

Pada masa ini, Sarawak hanya menerima 5% royalti daripada hasil minyak negeri dari kerajaan pusat. 

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk menangguhkan sementara proses rundingan tuntutan kenaikan royalti hasil petroleum negeri yang mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan. - THEHYPEMEDIA

Pengundi Iban Jangan Jual Maruah Demi Wang Sogokan RM300 - Najib


SRI AMAN - Pengundi di kawasan DUN Simanggang digesa tidak menjual undi mereka untuk mendapatkan wang sogokan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, masa depan pengundi adalah jauh lebih bernilai dari wang ringgit yang cuba disogok oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahukan undi mereka. 

"Pengundi Simanggang perlu mengutamakan masa depan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN Sarawak ke-11 Sabtu ini. Bukannya menyalahgunakan hak mengundi mereka untuk mendapatkan wang segera," katanya ketika berucap di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa di Undop. 

Kenyataan itu dibuat selepas Najib menerima maklumat dari calon BN DUN simanggang, Datuk Francis Harden Hollis yang mendakwa menerima maklumat ada cubaan pihak tertentu menyogok pengundi untuk tidak mengundi BN.

Katanya, pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah disogok dengan RM100 setiap seorang untuk tidak memangkah BN dan akan ditambah lagi dengan RM200 selepas PRN. 

"Orang Iban adalah pahlawan, ada semangat tinggi. Jadi jangan jual maruah kita. Lebih penting jangan gadai masa depan kita," kata Najib. - PIXEL MEDIA

Rakyat Sarawak, Jangan Ulangi Kesilapan Sabah - Musa


KUCHING - Ketua Menteri Sabah mengingatkan rakyat Sarawak agar tidak mengulangi kesilapan mereka pada 7 Mei, Sabtu ini. 

Datuk Seri Musa Aman berkata, Sabah pernah jatuh ke tangan pembangkang kerana tiada kerjasama antara rakyat dengan Barisan Nasional (BN) di Sabah. 

"Akibatnya, tiada pembangunan di Sabah ketika itu dan kami terpaksa melaluinya. Ia membuatkan kami sedar bahawa, jika kami mahukan pembangunan, kami perlu bersatu bagi memastikan BN capai kemenangan di negeri Sabah. 

"Wahai rakyat Sarawak, jangan ulangi kesilapan yang kami lakukan. Fikir masak-masak apabila keluar mengundi pada 7 Mei ini," katanya. 

Musa Aman hadir ke Sarawak bagi membantu kempen BN di negeri itu  agar parti PBB meraih kemenangan di Bumi Kenyalang. - THEHYPEMEDIA.COM

Jangan Undi Abdul Aziz! - Nenek


KUCHING - Nenek Abdul Aziz Isa, calon DAP bagi kerusi Batu Kitang menyuarakan pandangannya bahawa beliau tidak suka cucunya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, Sabtu ini. 

Mazuyin Abd Manan, 75, yang aktif dalam politik Sarawak sejak berdekad lalu berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Saya tidak suka cucu saya cabar BN kerana saya masih hidup untuk menyokong calon BN di Batu Kitang, Lo Khere Chiang. Jangan undi Abdul Aziz, saya tak suka. 

"Dia masih muda dan belum mula bekerja. Tetapi tiba-tiba saja mahu menentang kerajaan," katanya. 

Mazuyin juga akan tetap menolak cucunya itu jika dia menyertai parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) suatu hari kelak. 

"Saya tidak mahu dia dalam PBB. Saya sudah beritahu semua orang, jika satu hari nanti dia memohon menyertai PBB, mereka tidak patut menerimanya," katanya. 

Bapa Abdul Aziz, Marindo Tahar, tahu yang ibunya tidak akan bersetuju dengan tindakan anak lelakinya itu. Bagaimana pun Marindo telah membentuk anaknya sejak dari kecil untuk berkecimpung dalam arena politik. 

"Saya ada rancangan sendiri untuk dia dan saya menyokong hasratnya di mana dia boleh bersuara demi kebaikan orang Sarawak," katanya. - THEHYPEMEDIA

Kadar GST Kekal 6%, Usah Terperdaya Dengan Fitnah Pembangkang


KUCHING - Tindakan pembangkang cuba menghasut rakyat Sarawak dalam kempen ceramah mereka sempena Pilihran Raya Negeri Sarawak ke-11 kononnya kadar GST akan dinaikkan selepas BN menang PRN Sarawak, dikecam Datuk Seri Najib Razak. 

Najib menyeru rakyat Sarawak tidak terperdaya dengan hasutan pembangkang dan menyifatkan tindakan pembangkang sebagai propaganda jahat untuk memenangi hati pengundi. 

"Beberapa hari ini saya berada di Sarawak untuk berkempen. Saya dengar tersebar khabar angin bahawa kerajaan pusat akan menaikkan kadar GST selepas PRN Sarawak.

"Saya nasihatkan rakyat Sarawak tidak terperdaya dengan fitnah dan pembohongan oleh pembangkang yang sudah hilang modal politik," memetik kenyataan beliau di laman blognya hari ini. 

Jelas Najib lagi, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan kadar GST pada masa ini dan kadar GST akan terus kekal pada 6%. 

"Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, saya ulangi jaminan bahawa tiada langsung perancangan untuk mengubah kadar GST pada masa ini dan ia akan dikekalkan. 

"Sebaliknya kerajaan BN berhasrat meningkatkan tarfa kehidupan Sarawak dan ini jelas terbukti dengan keikhlasan dan komitment kerajaan dalam projek pembangunana seperti Lebuhraya Pan Borneo yang tidak akan dikenakan tol," katanya. - THEHYEPEMEDIA.COM

'Saya Akan Berundur Bila Tiba Masanya' - Adenan


KUCHING - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa beliau akan berundur dari jawatan Ketua Menteri jika sudah sampai masanya kelak. 

Dalam pada masa yang sama, beliau sempat bergurau yang beliau tidak akan menjadi Gabenor Sarawak kerana beiau tidak memiliki isteri seperti yang merujuk kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud. 

Mengulas mengenai tindakan DAP menghasut rakyat Sarawak akan hubungan baik di antara Adenan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau mendakwa DAP marah cemburu dan marah akan perhubungan baiknya dengan anak Tun Razak itu.

"Hubungan politik di antara saya dan Najib bertujuan membawa pelaburan untuk membangunkan ekonomi Sarawak," katanya. 

Walau bagaimanapun, Adenan menegaskan beliau tidak mahu parti-parti dari semenanjung terutamanya DAP dan PKR datang ke Sarawak untuk merosakkan keharmonian negeri itu. Bahkan, UMNO juga turut ditegah bertapak di Sarawak, namun cukup sekadar membantu rakyat di Sarawak. - THEHYPEMEDIA.COM

Top